SK Buayan 'kilang' modal insan terbaik
DR.
MOHD. Puad Zarkashi bersama rombongan Kementerian Pelajaran bergambar
dengan murid-murid SK Buayan di pedalaman Penampang, baru-baru ini.
PENAMPANG
25 Okt. - Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan di sini tidaklah
seindah sekolah di bandar, tetapi yang paling penting matlamatnya
tercapai iaitu untuk memberi pendidikan terbaik kepada penduduk di
kawasan berkenaan.
Jadi
tidak hairanlah anak-anak di kawasan berkenaan pandai membaca dan
menulis malah ada yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih
tinggi.
Antara infrastruktur yang
wujud di sekolah itu ialah bangunan sekolah tunggal, rumah guru, pusat
sumber dan pusat akses, pondok sekuriti, pondok generator, tandas dan
parabola.
Guru Besarnya, Robert Gubat
berkata, kewujudan sekolah berkenaan telah banyak membantu memastikan
generasi kampung berkenaan mendapat pendidikan yang sempurna.
Katanya,
ia telah membawa perubahan kepada penduduk apabila terdapat di kalangan
mereka berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik.
"Malah
ada di kalangan guru di sini merupakan bekas pelajar sekolah ini yang
kembali untuk berbakti di kampung," katanya yang memberitahu sekolah itu
diwujudkan pada 1967 atas inisiatif penduduk kampung.
Robert
berkata, pada mulanya sekolah itu hanya kecil dan ringkas sahaja -
beratapkan zink, berdinding buluh dan berlantaikan simen.
Katanya, pada 1971, bangunan sekolah yang kedua dibina oleh Kementerian Pelajaran bagi menampung murid yang semakin bertambah.
"Pada
1982 memandangkan bangunan sekolah yang pertama sekali dibina mula
retak, bangunan baru yang telah dipohon telah siap dan mula digunakan
pada tahun yang sama," katanya.
Dalam
pada itu, Ketua Kampung Buayan, John Sabitang berkata, meskipun
terletak jauh di pedalaman dan mempunyai hanya 464 penduduk, kampung
berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya khususnya dalam pendidikan.
Katanya, selain bangunan sekolah, murid-murid di sini turut mendapat pelbagai bantuan untuk meneruskan pembelajaran.
Bagi
guru Zeabenia Mositol yang pernah belajar di sekolah berkenaan berkata,
kewujudan sekolah itu telah membolehkannya mendapat pendidikan sehingga
ke tahap yang lebih tinggi.
"Saya
pernah belajar di sini dan kini setelah menjadi guru di sekolah ini saya
berazam untuk memastikan semua generasi muda di sini mendapat
pendidikan yang sempurna.
"Saya
bersyukur kerana walaupun kami tinggal di pedalaman kerajaan tidak
meminggirkan kami untuk mendapat pendidikan yang sempurna," katanya.
Seorang
pelajar, Michel Leann, 11, yang bercita-cita menjadi guru berkata,
segala kekurangan yang ada di situ tidak melemahkan semangatnya untuk
belajar bersungguh-sungguh.
"Kami
sudah biasa begini dan sebenarnya kekurangan ini membakar semangat kami
untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib kami sekeluarga,"
ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar SK
Terian, Dainis Dahangat berkata, meskipun sekolah tersebut terletak di
atas Banjaran Crocker yang bentuk muka buminya bergunung-ganang tetapi
kerajaan tetap memberikan komitmennya dengan membina sekolah berkenaan
sejak 1964 lagi.
Katanya, walaupun
sekolah itu hanya bangunan kayu dan kecil tetapi ia telah memberi
sumbangan penting kepada warga kampung Terian yang mempunyai kira-kira
400 penduduk.
"Tujuh orang guru yang
mengajar di sekolah ini juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi
meskipun terpaksa melalui pelbagai kekurangan dan cabaran seperti
melalui jalan balak," ujarnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar